Li’an dari segi bahasa adalah kutukan. Adapun li’an menurut istilah syarak adalah sumpah seorang suami ke atas isterinya yang dituduh melakukan zina.
Di Malaysia, sekiranya seorang suami telah menuduh isterinya berzina, maka had Qazaf adalah diletakkan ke atas suami tersebut. Maka bagi mengugurkan had Qazaf tersebut, suami perlu melafazkan sumpah li’an sebanyak empat (4) kali bahawa suaminya adalah bercakap benar bahawa isterinya telah berzina dan sumpah ke-lima (5) adalah memohon laknat Allah SWT sekiranya dia daripada orang yang berbohong.
Dalam situasi di atas, sumpah li’an suami mestilah mendahului sumpah li’an isteri. Dan isteri perlulah bersumpah li’an bagi menafikan tuduhan zina tersebut serta bagi mengugurkan had zina ke atasnya sebanyak empat (4) kali sumpah bahawa suaminya adalah berbohong ke atas pertuduhan zina tersebut dan sumpah ke-lima (5) adalah kutukan Allah ke atas isteri sekiranya suaminya bercakap benar.
Dalil pensyariatan berkenaan sumpah li’an ini boleh dilihat di dalam Surah An-Nur (24: 6-9), Allah SWT berfirman yang bermaksud;
Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; –
Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.
Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; –
Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 50A telah memperuntukkan bahawa pasangan suami isteri yang telah bersumpah li’an di hadapan Hakim Syarie mestilah difarakkan dan dipisahkan serta hidup berasingan dan tidak boleh bersama selama-lamanya. Ini adalah kerana cerai secara li’an merupakan talaq bain kubro yang diharamkan untuk bersama semula meskipun isteri tersebut telah bernikah dan bersama dengan lelaki lain.
Justeru itu, cerai secara li’an adalah merupakan salah satu bentuk pembubaran perkahwinan yang diperbolehkan di Malaysia namun, proses yang perlu dilalui serta kaedah pembuktian yang digunapakai di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa adalah sangat berat.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cerai secara li’an atau undang-undang syariah, sila hubungi kami di admin@nhcolaw.com.
Article Disclaimer: The contents written above and/or in this website do not constitute a legal advice and should not be relied upon by any parties as such. Please reach out to us for further enquiries.
Prepared by Hajar Afifah Binti Zainal