Cerai Ta’liq boleh didefinisikan sebagai mengaitkan jatuhnya talak sekiranya terjadi atau berlaku syarat yang dilafazkan oleh sang suami. Menurut Seksyen 2, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 mentafsirkan ta’liq ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan peruntukan Akta ini.

Ta’liq talak boleh dibahagikan kepada dua (2) bahagian;
1. Ta’liq biasa; ta’liq yang dibaca dan ditandatangani oleh suami sewaktu akad nikah.
2. Ta’liq tambahan; iaitu ta’liq yang dilafazkan oleh suami selepas berlaku akad nikah selain daripada yang tertera di dalam surat ta’liq.

Justeru itu, lafaz ta’liq yang telah dilakukan oleh sang suami adalah tidak boleh ditarik balik. Sekiranya berlaku perlanggaran kepada ta’liq biasa, maka sang isteri bolehlah mengadu kepada Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa bagi maksud memfailkan kes cerai ta’liq di bawah Seksyen 50 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan;

(1) Seseorang Perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan ta’liq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.
(2) Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu siasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa peceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

Namun begitu, sinonimnya amalan cerai ta’liq di kalangan rakyat Malaysia juga terjadi terhadap ta’liq tambahan yang diluar kandungan surat ta’liq. Sebagai contoh, sang suami melafazkan “Sekiranya engkau keluar daripada kereta ini, maka jatuh lah talak ke atas engkau”

Sekiranya berlaku situasi di mana perlanggaran terhadap lafaz ta’liq tambahan telah terjadi, suami atau isteri perlu ke Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa bagi memastikan sama ada talak telah jatuh dengan sempurna ataupun tidak.

Maka boleh disimpulkan bahawa sekiranya berlaku pelanggaran kepada lafaz ta’liq, samada perlanggaran tersebut daripada sang isteri atau sang suami, dan samada perlanggaran tersebut bagi maksud ta’liq biasa semasa akad nikah mahupun ta’liq tambahan diluar daripada yang tertera dalam surat ta’liq, maka suami atau isteri perlulah mendapatkan nasihat daripada pihak yang berautoriti bagi menentukan keabsahan talak tersebut.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cerai ta’liq atau undang-undang syariah, sila hubungi kami di admin@nhcolaw.com.

Article Disclaimer: The contents written above and/or in this website do not constitute a legal advice and should not be relied upon by any parties as such. Please reach out to us for further enquiries.

Prepared by Hajar Afifah Binti Zainal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

×