Soalan:
Puan, suami saya baru sahaja meninggal kerana dijangkiti wabak covid-19. Saya ada masalah berkaitan harta peninggalan arwah suami saya. Saya dapat tahu bahawa arwah suami saya ada mewasiatkan sebahagian hartanya dalam bentuk wang simpanan kepada rumah anak yatim dan harta selebihnya yang berupa sebuah rumah banglo kepada anak lelaki saya. Rumah tersebut diletakkan atas dua nama iaitu nama arwah suami dan nama saya. Untuk pengetahuan puan, rumah tersebut masih di bayar oleh saya sepenuhya, arwah suami hanya memberi wang deposit rumah sahaja. Apakah wasiat tersebut sah dan apa pula hak saya sebagai seorang isteri?
Lydia, Kajang, Selangor.
Jawapan:
Masalah puan ini berkenaan dengan pelaksanaan wasiat. Wasiat ialah sesuatu amanah yang dibuat semasa hidup si mati untuk diberikan kepada seseorang setelah dia meninggal dunia. Sekiranya si mati meninggalkan wasiat, hendaklah diteliti terlebih dahulu sama ada wasiat tersebut dibuat menurut hukum dan syarat yang berlandaskan hukum syarak atau tidak. Tanggungjawab seorang waris ialah untuk mendapatkan status wasiat tersebut. Jika wasiat itu sah mengikut hukum syarak, maka ia perlu ditunaikan. Jika tidak sah atau jika wasiat ditujukan kepada waris yang berhak menerima pusaka, maka terpulanglah kepada waris yang ada untuk membuat keputusan sama ada setuju menunaikan wasiat tersebut atau tidak.
Sebelum sesuatu wasiat itu dapat dilaksanakan, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan kebiasaan masyarakat terlepas pandang; yang pertama ialah harta yang diwasiatkan itu tidak melebihi satu pertiga (1/3) daripada harta bersih simati setelah ditolak belanja pengebumian dan hutang si mati. Kedua ialah harta itu tidak diwasiatkan kepada mana-mana waris yang berhak menerima pusakanya dan yang ketiga ialah harta yang diwasiatkan perlulah hak milik pewasiat sepenuhnya. Seperti yang saya maklumkan di atas, wasiat hanya boleh dilaksanakan jika memenuhi syarat-syarat wasiat. Oleh itu, perlulah diteliti setiap satu perkara di dalam wasiat tersebut bagi menentukan sama ada wasiat tersebut sah atau tidak.
Perkara yang pertama adalah berkaitan wang simpanan si mati yang diwasiatkan kepada rumah anak yatim. Bahagian wasiat ini adalah sah dan boleh dilaksanakan jika nilainya tidak melebihi satu pertiga (1/3) dari jumlah keseluruhan harta arwah suami puan. Selain itu, wasiat ini juga telah diberi kepada bukan waris dan merupakan harta milik arwah suami puan sepenuhnya.
Perkara yang kedua adalah berkenaan harta yang diwasiatkan kepada anak lelaki puan yang masih hidup. Mengenai isu ini saya percaya wasiat ini perlu diteliti sepenuhnya kerana si mati di dalam wasiatnya menyerahkan sebuah banglo tersebut sepenuhnya kepada anak tersebut namun ada beberapa perkara yang perku diteliti dan diselesaikan terlebih dahulu. Yang pertama ada wasiat boleh diberikan hanya satu pertiga (1/3) daripada bahagian tinggal si mati; sekiranya si mati mempunyai bahagian sebanyak 50% atau 1/2 daripada keseluruhan harta, maka 1/3 daripada setengah bahagian boleh diberikan kepada anak tersebut; dengan syarat, waris-waris si mati setuju dengan penyerahan tersebut; yang kedua; umum mengetahui pembelian rumah adalah suatu proses yang panjang sebelum pemilikan yang sah yakni bercagar dengan pihak bank, sekiranya puan merujuk kepada pihak yang dicagarkan dan dibenarkan, maka wasiat ini juga boleh diteruskan; perkara-perkara dan syarat-syarat bagi wasiat berkaitan rumah banglo ini harus diteliti sepenuhnya dan dipenuhi sepenuhnya sebelum ianya boleh dilaksanakan. Sekiranya salah seorang waris si mati tidak bersetuju atau tiada kebenaran daripada pihak bercagar, maka saya percaya wasiat bagi rumah banglo tersebut tidak sah, terbatal dan tidak boleh dilaksanakan kerana ia tidak memenuhi syarat-syarat sah wasiat atas sebab rumah banglo tersebut masih terhutang, bukan milik pewasiat sepenuhnya dan tiada persetujuan ahli waris yang lain.
Seterusnya saya akan sentuh mengenai hak puan sebagai seorang isteri. Puan berhak menuntut hak dalam harta sepencarian. Definisi harta sepencarian adalah harta yang diperolehi bersama-sama oleh suami isteri semasa tempoh perkahwinan. Harta sepencarian dibenarkan untuk dituntut oleh seorang isteri pada dua keadaan iaitu bila berlaku perceraian atau bila berlakunya kematian.
Puan berhak dalam menuntut harta sepencarian ke atas perkahwinan puan dengan suami puan sebagai seorang isteri yang sah dan dengan mengambil kira takat sumbangan puan ke atas harta tersebut.
Oleh itu, bagi menuntut hak puan ke atas harta sepencarian tersebut, puan perlulah memfailkan satu tuntutan di Mahkamah Syariah. Mahkamah akan mendengar kes tersebut dan setelah meneliti bukti-bukti yang ada, Mahkamah kemudiannya akan membuat keputusan mengenai bahagian harta sepencarian yang layak puan perolehi.
Article Disclaimer: The contents written above and/or in this website do not constitute a legal advice and should not be relied upon by any parties as such. Please reach out to us for further enquiries.