Menurut Islam, kuasa talaq atau menceraikan adalah hak mutlak seorang suami. Ini adalah bertepatan dengan dalil daripada surah al Baqarah : 237 yang mana Allah berfirman ;
{Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya)}
Walau bagaimanapun, seorang isteri adalah berhak untuk menuntut perceraian sekiranya berlaku dharar dalam rumahtangga. Dharar bermaksud sebarang bentuk kemudaratan, kezaliman atau penderitaan yang berlaku dalam institusi rumahtangga. Ia merangkumi tekanan daripada suami samada secara fizikal, mental atau emosi. Namun begitu, timbul persoalan sekiranya seorang suami berkeras tidak mahu melepaskan atau menceraikan isterinya?
Dalam situasi diatas, sekiranya seorang suami berkeras tidak mahu melepaskan isterinya atau tidak bersetuju untuk bercerai, si isteri boleh memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) / Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).
Pihak-pihak perlu melalui beberapa proses di Mahkamah memandangkan tuntutan ini tidak mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak. Pihak-pihak perlu menjalani prosiding Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) di Pejabat Agama yang berbidangkuasa dan melalui proses Hakam. Justeru itu, Hakam mahkamah diberikan kuasa untuk melafazkan talak bagi pihak suami sekiranya pihak-pihak telah mencapai peringkat terakhir bagi proses perceraian.
Kesimpulannya, sekiranya berlaku dharar dalam rumahtangga, pihak isteri boleh sahaja memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa meskipun tanpa persetujuan suami.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cerai atau undang-undang syariah, sila hubungi kami di admin@nhcolaw.com.
Penafian Artikel: Kandungan yang ditulis di atas dan/atau di laman web ini tidak merupakan nasihat undang-undang dan tidak boleh dijadikan sandaran oleh mana-mana pihak sebagai sedemikian. Sila hubungi kami untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Disediakan oleh Hajar Afifah Binti Zainal