Hadhanah berasal daripada perkataan ‘al-hadhn’ yang membawa maksud tulang/rusuk. Hadhanah menurut istilah syarie pula adalah melindungi dan memberi penjagaan kepada anak yang tidak dapat membezakan antara perkara yang betul dan salah, tidak mampu untuk bergantung kepada diri sendiri dan memberi pendidikan yang layak dan melindungi kanakkanak daripada sesuatu perkara yang membahayakan ke atas diri anak tersebut.
Sekiranya berlaku perceraian di Mahkamah Syariah, isu Hadhanah sering timbul dan persoalan siapakah yang lebih layak menjaga seorang anak akan diperdebatkan. Justeru itu, perkara penting yang akan dititikberatkan oleh Mahkamah dalam penentuan hak jagaan adalah kebajikan seorang anak.
Menurut Hukum Syarak, seorang ibu adalah lebih layak dalam mendapatkan hak jagaan ke atas seorang kanak-kanak. Ini adalah berdasarkan dalil daripada hadis yang bermaksud:
Abdullah bin Amru r.a berkata: Seorang wanita datang berjumpa Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ini adalah anakku, saya yang melahirkan dia, susu badan saya yang dia minum dan saya penjaganya. Sekarang ayahnya telah menceraikan aku dan dia mahu mengambil anakku. Kemudian, Rasulullah SAW berkata: Anda mempunyai hak daripada dia selagi anda tidak berkahwin”
Selain itu, merujuk kepada Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (WWP) telah memperuntukkan bahawa ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
Maka, merujuk kepada dalil dan peruntukan yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa undang-undang di Malaysia telah memberi keistimewaan tentang hadhanah kepada seorang ibu selagi mana dia tidak berkahwin baru. Malah, sekiranya seorang ibu yang bercerai telah bernikah baharu, hak jagaan ke atas seorang anak adalah tidak secara automatik terbatal. Namun begitu, ibu tersebut boleh hilang hak jagaan ke atas seorang anak sekiranya perkahwinan tersebut boleh menjejaskan kebajikan terhadap anak tersebut.
Namun begitu, seorang ibu juga boleh hilang kelayakan sekiranya berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka, murtad, cuai atau menganiayai anak tersebut & sengaja menukar tempat tinggal anak bagi maksud mencegah bapa kepada anak tersebut melakukan pengawasan yang sepatutnya. Dan sekiranya Mahkamah berpendapat bahawa seseorang ibu adalah tidak dan/atau hilang kelayakan dalam menjadi hadhin kepada anak tersebut, maka turutan hak jagaan akan turun seperti berikut:
• Ibu
• Nenek sebelah ibu (ibu kepada ibu)
• Bapa
• Nenek sebelah bapa (ibu kepada bapa)
• Datuk (bapa kepada bapa)
• Moyang perempuan (ibu kepada datuk atau nenek bapa)
• Datuk si bapa
• Ibu kepada datuk bapa (moyang bapa)
• Saudara perempuan – Adik beradik perempuan
• Saudara perempuan sebapa
• Saudara perempuan seibu
• Saudara lelaki – Adik beradik lelaki seibu sebapa
• Saudara lelaki sebapa
• Anak lelaki kepada saudara lelaki (adik beradik) seibu sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa
• Ibu saudara sebelah ibu, kemudian ibu saudara sebelah bapa
• Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa dan kemudian bapa saudara sebelah bapa sebapa
• Nenek saudara (ibu saudara kepada ibu) sebelah pihak perempuan
• Nenek saudara (ibu saudara kepada bapa) sebelah pihak perempuan
• Nenek saudara (ibu saudara kepada bapa) sebelah pihak lelaki
Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa Hadhanah merupakan hak seorang penjaga, sama ada wanita ataupun lelaki, walau begitu lebih diutamakan kepada pihak wanita kerana sifat seorang wanita adalah lebih dominan dalam melaksanakan jagaan keatas seorang anak.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang hadhanah atau undang-undang syariah, sila hubungi kami di admin@nhcolaw.com.
Penafian Artikel: Kandungan yang ditulis di atas dan/atau di laman web ini tidak merupakan nasihat undang-undang dan tidak boleh dijadikan sandaran oleh mana-mana pihak sebagai sedemikian. Sila hubungi kami untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Disediakan oleh Hajar Afifah Binti Zainal