Dalam sistem perundangan syariah di Malaysia, proses perceraian adalah satu aspek yang penting dalam pengurusan hubungan suami isteri apabila hubungan tersebut tidak lagi dapat diteruskan. Selain dari perceraian melalui Mahkamah, terdapat juga segelintir masyarakat yang mengambil jalan mudah dengan melafazkan cerai di luar Mahkamah.
Menurut seksyen 125 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, sekiranya seorang suami telah melafazkan cerai diluar dan tanpa izin Mahkamah, ia merupakan suatu kesalahan jenayah syariah di sisi undang-undang Malaysia dan suatu hukuman denda perlu dikenakan keatas suami. Meskipun ia merupakan suatu kesalahan di Malaysia, masih ramai lagi dengan sengaja melanggar undang-undang tersebut. Implikasinya, ramai pasangan yang tidak cakna tentang jumlah talak yang telah jatuh.
Sekiranya pihak-pihak mengambil mudah terhadap lafaz cerai yang telah dilakukan di luar Mahkamah, perkara ini boleh mengakibatkan berlakunya kekeliruan terhadap jumlah talak sekiranya perkara yang sama berulang di masa hadapan. Sebagai contoh, sekiranya terdapat pasangan yang telah bercerai di luar Mahkamah dan tidak melaporkan perkara tersebut kepada pegawai Mahkamah, ini boleh mengakibatkan kesalahan dalam penghakiman jumlah talak sekaligus boleh memberi kesan kepada iddah si isteri.
Sekiranya perkara sebegini terjadi, ini juga boleh memberi kesan kepada proses rujuk pihak-pihak. Rentetan itu, sekiranya suami telah melafazkan cerai sama ada secara sorih/jelas atau tidak, pihak-pihak perlulah dengan segera melaporkan perkara tersebut di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa. Pihak-pihak tidak boleh mengambil langkah mudah dengan hanya merahsiakan perkara tersebut dan melafazkan rujuk secara sembunyi. Oleh yang demikian, sekiranya pihak-pihak ingin bercerai, perkara tersebut perlulah dilakukan dengan saluran yang betul iaitu di dalam dan dengan kebenaran Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perceraian atau undang-undang syariah, sila hubungi kami di admin@nhcolaw.com.
Article Disclaimer: The contents written above and/or in this website do not constitute a legal advice and should not be relied upon by any parties as such. Please reach out to us for further enquiries.
Prepared by Hajar Afifah Binti Zainal