Harta sepencarian merupakan suatu konsep penting dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Ia merujuk kepada pembahagian harta yang diperolehi bersama oleh pasangan suami isteri sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Konsep ini bertujuan untuk memberikan keadilan kepada pihak isteri atau suami yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung dalam memperoleh harta sepanjang perkahwinan.
Meskipun di dalam Islam, harta sepencarian tidak disebut secara khusus dalam al-Quran atau Hadis, tetapi ia diterima sebagai sebahagian daripada adat dan amalan yang selaras dengan prinsip keadilan. Harta sepencarian telah diperuntukkan di bawah seksyen 122, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Harta sepencarian juga boleh dituntut atas tiga sebab iaitu:
1. Berlaku perceraian (cerai hidup)
2. Berlaku kematian salah seorang suami atau isteri (cerai mati)
3. Poligami
Harta yang boleh dituntut adalah termasuk:
1. Harta boleh alih : seperti wang, kenderaan, syer saham, barang kemas dll.
2. Harta tidak boleh alih : seperti tanah, rumah, bangunan dll.
Tiada satu peruntukan khusus berkaitan kadar tuntutan yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah terhadap isu harta sepencarian. Justeru itu, kadar tuntutan akan dilihat berdasarkan takat sumbangan suami atau isteri terhadap harta tersebut. Ia termasuk sama ada sumbangan langsung atau tidak langsung meskipun harta tersebut di bawah satu nama sahaja (suami atau isteri sahaja).
Sebagai contoh, Ali membeli sebuah rumah kelamin dalam tempoh perkahwinan bersama Aminah. Rumah tersebut di beli di bawah satu nama iatu Ali sahaja. Selepas 10 tahun, Ali meninggal dunia dan Aminah membuat tuntutan Harta Sepencarian di Mahkamah Syariah terhadap rumah kelamin tersebut sebanyak 30% daripada nilai rumah tersebut. Mahkamah meluluskan tuntutan Aminah terhadap rumah kelamin tersebut atas alasan Aminah banyak memberi sumbangan secara tidak langsung terhadap rumah kelamin tersebut meskipun tidak pernah membantu dalam pembayaran bulanan rumah kelamin. Justeru itu, terdapat beberapa kaedah penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian. Pihak-pihak yang terlibat boleh berunding secara damai sama ada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai, dan persetujuan tersebut akan di endors sebagai suatu perintah di hadapan hakim. Namun begitu, sekiranya rundingan secara damai tidak dapat dicapai, pihak-pihak akan melalui proses perbicaraan di mahkamah bagi memutuskan pertikaian dan kadar yang layak bagi pihak-pihak.