Adakah Nafkah Isteri Dikira Hutang Jika Tidak Bayar?

Soalan :

Isteri saya merupakan seorang wanita bekerjaya dari sebelum kami mendirikan rumahtangga lagi dan selepas berkahwin, saya memberikan keizinan untuk isteri terus bekerja. Pernah beberapa bulan saya tidak bekerja kerana keadaan ekonomi syarikat dan tiada nafkah bulanan yang saya berikan kepada isteri. Sepanjang tempoh itu juga, semua perbelanjaan ditanggung oleh isteri saya . Persoalan saya adakah saya dikira berhutang kepada beliau dari segi nafkah kerana setahu saya suami wajib memberi nafkah kepada isteri setiap bulan. 

Nazmi, Kajang

Jawapan:

Terima kasih atas soalan Encik Nazmi. Kewajipan memberi nafkah kepada isteri itu bermula selepas sahnya ikatan suami isteri di antara encik dan isteri. Nafkah isteri adalah merupakan salah satu tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh seorang suami kepada isteri. 

Kewajipan memberi nafkah ini jelas dinyatakan dalam Al-Quran dalam surah Al-Talaq, ayat 7 yang bermaksud: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah s.w.t kepadanya, Allah s.w.t tidak memberati seseorang Muslim melainkan sekadar kemampuan yang diberi Allah s.w.t kepadanya.

Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri juga dinyatakan dalam hadith Rasulullah saw. Sebagaimana Rasulullah saw bersabda: “Bukankah kamu mempunyai hak ke atas isteri-isteri kamu; dan isteri-isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu. Hak kamu ke atas isteri-isteri kamu ialah bahawa dia tidak membenarkan orang yang kamu tidak suka memijak hamparanmu, dia tidak membenarkan orang yang kamu tidak suka memasuki rumah kamu. Bukankah hak mereka ke atas kamu bahawa kamu melayani mereka dengan baik pada pakaian dan makan mereka”.

Jelas berdasarkan Hukum Syarak, seorang suami wajib memberi nafkah kepada isterinya yang terdiri daripada makan minum, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain keperluan dalam kehidupan.

Nasihat saya, supaya encik memberi sedikit sebanyak nafkah kepada isteri walaupun isteri tidak meminta semula sejumlah wang yang telah dia belanjakan dalam tempoh encik tidak bekerja kerana nafkah isteri ialah suatu pemberian wajib dan tidak gugur begitu sahaja melainkan isteri redha untuk tidak dinafkahi sepanjang encik tidak bekerja. Dengan cara ini encik dapat mengelakkan diri dari berhutang dan dapat mengelakkan diri dari melakukan sebarang penganiayaan. 

Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 283 yang membawa maksud: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh sehingga suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu mencatatkan hutang tersebut”

Ayat ini menekankan kepentingan membayar segala hutang yang ada bagi mengelakkan diri dari dibelenggu hutang. Sekiranya ada redha meredhai di antara encik dan isteri serta ada kata sepakat maka ia tidak menjadi hutang ke atas diri encik sebagai suami. 

Sesungguhnya agama Islam adalah agama yang menjamin keadilan kepada semua manusia di muka bumi tanpa melihat kepada warna kulit, bangsa, agama, lelaki mahupun perempuan. Semoga dengan niat ikhlas encik yang cakna tentang nafkah kepada isteri akan menjadikan kehidupan rumahtangga encik dan isteri mendapat keredhaan Allah s.w.t dan masjid yang dibina akan menjadi lebih harmoni dan bersatu padu.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang isu nafkah, sila hubungi kami di admin@nhcolaw.com.

Article Disclaimer: The contents written above and/or in this website do not constitute a legal advice and should not be relied upon by any parties as such. Please reach out to us for further enquiries.

×