Hibah merupakan suatu instrumen yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di negara Malaysia. Hibah menurut bahasa adalah pemberian sama ada dalam bentuk ‘ain atau selainnya. Adapun menurut istilah, hibah ditakrifkan sebagai suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan.
Bagi mencapai maksud dan matlamat hibah, terdapat 4 rukun hibah yang perlu dipenuhi seperti berikut;
- Pemberi hibah
- Penerima hibah
- Barang/Harta yang dihibahkan
- Sighah (Ijab & Qabul)
Menurut Islam, hibah terbahagi kepada tiga (3) jenis iaitu Hibah Mutlak, Hibah Bersyarat dan Hibah Amanah.
Hibah Mutlak adalah bermaksud hibah yang diberikan oleh seseorang kepada seorang yang lain dengan serta-merta tanpa syarat.
Hibah Bersyarat pula boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :
- Hibah Al-Umra; iaitu pemberian semasa tempoh hidup penerima hibah dengan syarat harta yang dihibahkan tersebut dikembalikan setelah kematian penerima hibah. Pemberian ini bersifat sementara merujuk kepada hayat salah seorang pemberi atau penerima hibah. Pemberian ini juga akan kembali kepada pemberi hibah sekiranya penerima hibah meninggal dunia dan sekiranya pemberi hibah meninggal dunia, maka harta yang dihibahkan tersebut akan kembali kepada waris pemberi hibah.
- Hibah Al-Ruqba; iaitu pemberian dengan syarat kematian salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebagai syarat pemilikan kepada salah satu yang hidup. Al-Ruqba ini juga bermaksud pemberian hibah daripada pemberi hibah dengan syarat di mana harta yang dihibahkan akan berpindah kepada penerima hibah dengan kematian pemberi hibah dan sekiranya penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah, maka harta yang dihibahkan tersebut akan kembali semula kepada pemberi hibah.
- Hibah dengan syarat balasan; iaitu pemberian yang diikat dengan syarat balasan tertentu.
Hibah Amanah pula ialah pemberian atau hibah oleh seseorang dengan mengabungkan konsep Hibah dan Amanah.
Hibah adalah merupakan suatu instrumen yang sangat digalakkan dalam islam terutama pemberian kepada ahli keluarga.
Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, hibah bersyarat lebih sering digunapakai dalam suatu akad pemberian. Masyarakat di Malaysia lebih cenderung untuk menggunakan konsep hibah bersyarat demi menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak (pemberi hibah dan penerima hibah). Walau bagaimanapun, hibah bersyarat ini sering menjadi titik perdebatan di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa kerana hibah bersyarat ini masih boleh di pertikaikan. Perbahasan mengenai hibah bersyarat ini akan di rungkaikan dalam bahagian seterusnya (Hibah Bahagian 2).
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang hibah atau undang-undang syariah, sila hubungi kami di admin@nhcolaw.com.
Article Disclaimer: The contents written above and/or in this website do not constitute a legal advice and should not be relied upon by any parties as such. Please reach out to us for further enquiries.
Prepared by Hajar Afifah Binti Zainal