Soalan:
Saya ada beberapa pertanyaan yang menjadi persoalan saya sehingga ke hari ini. Perkara ini telah acapkali saya tanyakan kepada kawan-kawan saya yang lain. Saya telah berkahwin pada tahun 2009. Pada Jun 2013, suami saya telah melafazkan talaq kepada saya dalam keadaan saya sedang mengandungkan anak yang kedua. Usia kandungan anak saya pada ketiga itu 6 bulan. Tetapi pada bulan Julai 2013, suami saya telah melafazkan rujuk pada saya. Soalan saya bilakah bermulanya tarikh iddah dan tamat tarikh iddah saya yang sepatutnya? Adakah rujuk yang dilafazkan oleh suami saya itu sah? Saya masih musykil dengan status dan keadaan saya sekarang, tambahan lagi bagaimana pula dengan status anak di dalam kandungan saya? Saya harap puan dapat menjelaskan kepada saya tentang perkara ini.
Jawapan:
Perkahwinan adalah akad yang ditentukan oleh syarak yang menghalalkan hubungan diantara lelaki dengan perempuan. Perkahwinan merupakan satu jalan yang mulia untuk mengatur hidup berumahtangga dan bagi menyambung generasi yang bertamadun dan berakhlak mulia. Selesai aqad nikah di laksanakan, maka sahlah hukumnya antara suami isteri dan masing-masing bertanggungan untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap pasangan.
Namun langit tidak selalu cerah, kadang-kadang hujan di tengahari. Begitulah juga dengan adat perkahwinan; ada yang kekal hingga akhir hayat, ada yang dilanda ombak dan berakhir dengan penceraian.
Perkataan ‘iddah adalah dari perkataan bahasa Arab iaitu bermaksud bilangan. Secara ringkasnya tempoh ‘iddah ialah tempoh menunggu sebelum seseorang wanita dibenarkan berkahwin semula. Hukum ‘iddah ini adalah wajib ke atas setiap wanita yang diceraikan oleh suami mereka. Kewajipan ‘iddah ini disyariatkan di dalam Al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 228 yang membawa maksud: “Wanita yang ditalaq hendaklah menahan diri dari berkahwin selama tiga kali suci (dari haid)”.
Di dalam tempoh ini, pasangan suami isteri sebenarnya di beri peluang untuk rujuk kembali sama ada masih ingin hidup bersama semula atau membawa haluan masing-masing dengan memulakan hidup baru. Selain itu, tempoh ‘iddah adalah untuk mengetahui sama ada wanita yang diceraikan tersebut mengandung atau tidak hasil perkahwinan dengan bekas suami, ini bagi mengelakkan sebarang masalah sekiranya wanita tersebut ingin berkahwin lain di kemudian hari.
Ini adalah seperti mana firman Allah s.w.t di Surah al-Baqarah ayat 228:“Wanita tidak boleh menyembunyikan apa yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t di dalam rahimnya, jika wanita tersebut beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat”.
Tidak dapat dinafikan bahawa tempoh ‘iddah adalah berbeza-beza bagi setiap wanita bergantung kepada situasi dan keadaan semasa diceraikan. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Talaq ayat 4, terjemahannya: “Dan perempuan yang putus haid maka tempoh ‘iddah adalah tiga bulan dan begitu juga bagi perempuan yang belum datang haid. Dan perempuan yang hamil, tempoh ‘iddah adalah sehingga melahirkan anak”.
Berdasarkan ayat ini, difahami bahawa tempoh iddah bagi perempuan yang diceraikan ketika sedang hamil akan berakhir apabila dia bersalin. Hukum ini mudah difahami kerana antara sebab diwajibkan iddah ialah untuk memastikan rahim wanita tersebut bersih daripada percampuran benih suami. Jadi, apabila dia bersalin, maka anak hasil percampuran dengan benih suami telah keluar dan rahimnya telah bersih. Bersih dalam erti kata, tiada benih lelaki dan tiada janin di dalam rahim.
Banyak lagi dalil-dalil daripada hadis yang menyokong hukum ini, namun, memadailah jika di jelaskan dengan ayat di atas sahaja kerana ia sudah jelas, terang dan difahami. Oleh yang demikian, merujuk kepada soalan yang pertama, tarikh bermula iddah ialah selepas suami melafazkan lafaz talak tersebut dan tamatnya tempoh iddah adalah sehingga bayi di dalam kandungan dilahirkan. Bagi soalan yang kedua, lafaz rujuk yg dilakukan oleh suami adalah masih di dalam tempoh iddah, dan lafaz rujuk yang tersebut adalah sah. Dan bagi soalan yang ketiga tersebut, tiada masalah dengan status anak di dalam kandungan tersebut. kerana puan masih isteri yang sah kepada suami puan ketika puan mengandungkan anak yang kedua tersebut.
Namun negara kita memiliki undang-undang yang mengatur sistem kekeluargaan Islam. Saya nasihatkan pihak puan supaya membuat pengesahan cerai tersebut terlebih dahulu di Mahkamah syariah yang berdekatan dengan puan. Selepas pengesahan cerai selesai, puan bolehlah terus berurusan dengan Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan bagi mendapatkan Surat Perakuan Rujuk dan ini bermaksud puan telah dirujuk oleh suami puan.