Saya Diceraikan. Apa Hak-Hak Saya?

Dalam melayari bahtera perkahwinan, tiada pasangan dapat menjaminkan bahawa rumah tangga yang dibina akan sentiasa bahagia tanpa ujian. Keharmonian dan saling menghormati adalah merupakan kunci kepada sesebuah perhubungan yang baik antara suami dan isteri. Namun begitu, sekiranya sesebuah perhubungan sudah menemukan jalan buntu dan gagal untuk diselamatkan, islam memperbolehkan talaq bagi pasangan suami isteri. Ini adalah bertepatan dengan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud “Perbuatan halal yang paling dibenci Allah ialah talak”

Justeru itu, bagi wanita yang telah diceraikan, terdapat beberapa hak yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa. Antaranya ialah:

1. Nafkah Iddah

Nafkah iddah adalah nafkah yang wajib dibayar oleh bekas suami kepada isteri yang telah diceraikannya dalam tempoh iddah rajie. Bekas suami wajib menyediakan tempat tinggal, makan minum serta pakaian bagi isteri mengikut Hukum Syarak.

2. Mutaah

Muta’ah pula merupakan bayaran saguhati daripada bekas suami kepada bekas isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut menurut Hukum Syarak. Islam tidak meletakkan satu formula khusus bagi pengiraan kadar mutaah ini, namun sekiranya bekas suami dan bekas isteri tidak mencapai kata sepakat bagi kadar jumlah mutaah, maka Hakim lah yang akan menentukan kadar yang sesuai bagi keduanya.

3. Harta Sepencarian

Wanita yang diceraikan boleh menuntut hak bagi Harta Sepencarian terhadap harta-harta yang diperolehi sepanjang dalam tempoh perkahwinan atau harta yang diperolehi oleh satu pihak yang lain sebelum berkahwin namun dimajukan bersama dalam tempoh perkahwinan. Harta-harta tersebut merangkumi harta boleh alih dan harta tidak boleh alih.

4. Tunggakan Nafkah Isteri

Sekiranya bekas suami culas dalam membayar nafkah terhadap bekas isterinya dalam suatu tempoh perkahwinan, bekas isteri boleh menuntut haknya terhadap tunggakan nafkah tersebut di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa.

5. Hutang Dalam Perkahwinan

Ketahuilah bahawa bekas isteri adalah berhak untuk menuntut hutang dalam perkahwinan sekiranya terdapat hutang yang belum dibayar oleh bekas suami.

6. Hadhanah (hak jagaan)

Hadhanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri. Sekiranya berlaku perceraian, ibu boleh menuntut hak jagaan tersebut di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa.

7. Nafkah Anak

Kewajipan menanggung nafkah anak adalah diletakkan di atas tanggungjawab seorang bapa. Nafkah anak ini termasuklah makan minum, tempat tinggal, pakaian dan lain-lain mengikut kemampuan bapa.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang hak-hak wanita selepas penceraian, sila hubungi kami di admin@nhcolaw.com.

Article Disclaimer: The contents written above and/or in this website do not constitute a legal advice and should not be relied upon by any parties as such. Please reach out to us for further enquiries.

Prepared by Hajar Afifah Binti Zainal

×