Soalan:
Saya ada sedikit keraguan terhadap hubungan saya dan suami sejak tiga bulan lepas. Tiga bulan lalu, suami memarahi saya dan dan berkata “Kita mesti balik sebelum jam 2.00 petang, kalau lebih sahaja dari itu, saya ceraikan kau, jatuh talaq’. Kebetulan memang kami terlewat balik. Saya mengajak dia ke pejabat agama, tapi dia memohon maaf pada masa itu. Bila saya ungkit hal tersebut, dia katakan lupakan saja dan biarkan berlalu. Keraguan saya adakah lafaz tersebut sah dan jika sah lafaz tersebut adakah kami perlu rujuk semula sedangkan kami telah melakukan hubungan suami isteri dalam tempoh tersebut. Tolong bantu saya dan terima kasih banyak puan.
Maria, Bangi
Jawapan:
Terdapat dua perkara yang perlu diteliti di dalam masalah puan. Isu pertama berkenaan lafaz ta’liq yang dilafazkan oleh suami puan yang membawa kepada perbincangan yang lebih mendalam iaitu sama ada lafaz ta’liq tersebut sah dan menjatuhkan talaq. Isu seterusnya adalah berkenaan dengan keperluan untuk rujuk.
Seksyen 57 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, memperuntukkan bahawa seseorang suami yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq di luar Mahkamah serta tanpa kebenaran Mahkamah, perlu membuat laporan kepada Mahkamah.
Seksyen 57 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Mahkamah akan mengesahkan sama ada lafaz talaq yang dilafazkan tersebut adalah sah dan menjatuhkan talaq.
Bagi isu pertama ini saya nasihatkan puan untuk pergi ke Mahkamah Rendah Syariah yang berdekatan dengan kediaman puan bagi tujuan pengesahan lafaz yang dibuat oleh suami puan tersebut. Walaupun suami puan meminta puan melupakan perkara tersebut namun menjadi tanggungjawab puan untuk melaporkan perkara tersebut di Mahkamah. Mendiamkan diri bukanlah caranya kerana kita perlu menghadapi masalah dan berusaha untuk menyelesaikannya. Sekiranya status puan masih diragui, akan menimbulkan perkara yang lebih besar pada masa akan datang.
Seterusnya saya akan sentuh berkenaan isu rujuk. Perkataan rujuk menurut Sekyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 bermakna perkembalian kepada nikah yang asal. Pensyariatan rujuk ini boleh di dapati di dalam ayat 228, Surah Al-Baqarah, di mana Allah s.w. t telah berfirman yang bermaksud:“Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) akan isteri- isteri itu dalam masa iddah’ mereka jika suami-suami bertujuan mahu berdamai”.
Mengenai keperluan merujuk ini, terdapat perbezaan pendapat antara mazhab-mazhab yang utama. Mazhab Shafie berpendapat bahawa rujuk perlu melalui perkataan atau kata-kata. Di Malaysia, kita berpegang kepada mazhab Shafie, yang demikian, sekiranya berlaku dan disabitkan lafaz ta’liq tersebut, maka hendaklah suami puan rujuk semula puan sebagai isteri nya sah selagi mana masih dalam iddah.
Saya turut bersimpati dengan sikap suami puan yang tidak mahu bertanggungjawab atas lafaz ta’liq yang diucapkan di luar Mahkamah. Pun begitu, puan haruslah kuat dan banyakkan bersabar. Jangan lupa panjatkan doa kepada Allah s.w.t sentiasa agar segala masalah dapat diselesaikan.
Article Disclaimer: The contents written above and/or in this website do not constitute a legal advice and should not be relied upon by any parties as such. Please reach out to us for further enquiries.