Pertunangan ialah satu hal atau perkara yang dibolehkan dalam agama kerana ianya merupakan titik perkenalan serta permulaan bagi suatu hubungan diantara kedua belah pihak. Walau bagaimanapun, adat pertunangan ini berbeza mengikut keadaan setempat serta suasana masyarakat sekitarnya. Pertunangan dapat didefinisikan sebagai mengikat janji untuk menjadi suami isteri (berkahwin).
Hukum pertunangan di sisi Islam adalah harus. Walau bagaimanapun, Imam Al-Syafie berpegang bahawa hukum pertunangan adalah sunat.
Dalam sesebuah adat pertunangan, hantaran atau pertukaran hadiah tidak dapat dipisahkan. Ini adalah kerana, ianya merupakan adat turun temurun yang dilakukan sejak zaman dahulu dan ianya diperbolehkan menurut agama selagi tidak bercanggah dengan Islam. Ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh berkaitan adat iaitu Sesungguhnya adat itu dipakai hanya apabila ia berterusan atau kerap.
Rentetan daripada adat tersebut, sekiranya timbul isu putus tunang atau memutuskan pertunangan, ianya akan memberi kesan terhadap pihak yang terlibat. Meskipun pada asalnya setiap muslim itu terikat dengan janji, namun islam membolehkan seseorang itu untuk mengingkari perjanjian yang telah dipersetujui sekiranya terdapat masalah-masalah yang timbul kemudiannya.
Oleh yang demikian, kesan pembatalan pertunangan mengikut pendapat mazhab Syafie adalah pemberian tersebut berhak dituntut kembali sekiranya masih wujud dan perlu dinilai sekiranya telah rosak tanpa mengira pihak mana yang memutuskan ikatan pertunangan.
Selain itu, Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan;
Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.
Maka dapat disimpulkan di sini bahawa sekiranya berlaku kejadian putus tunang diantara seorang lelaki dan perempuan, pihak yang diputuskan pertunangan boleh menuntut ganti rugi pertunangan di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa. Antara lainnya, pihak yang menanggung kerugian akibat putus tunang tersebut boleh meminta untuk dipulangkan semula pemberian pertunangan serta apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati bagi maksud pertunangan atau persediaan perkahwinan.
Bahkan, pihak yang diputuskan pertunangan mempunyai liabiliti untuk membuat tuntutan hak pemulihan namun, tuntutan tersebut hanya boleh dilakukan di Mahkamah Sivil memandangkan tiada isu yang boleh diketengahkan di Mahkamah Syariah.
Tuntutan hak pemulihan yang difailkan akibat daripada kesan pembatalan pertunangan adalah melibatkan tuntutan bersifat seperti maruah, kekecewaan, tekanan jiwa, penderitaan, penghinaan dan sebagainya. Namun, Akta Undang- Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 hanya menjelaskan, sekiranya berlaku pembatalan pertunangan pihak yang dimungkiri janji boleh menfailkan tuntutan ganti rugi yang berbentuk perbelanjaan persiapan perkahwinan sahaja di Mahkamah Syariah di bawah seksyen 15. Ini bermaksud Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes tuntutan hak pemulihan yang difailkan akibat kesan daripada pembatalan pertunangan.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pertunangan atau undang-undang syariah, sila hubungi kami di admin@nhcolaw.com.
Article Disclaimer: The contents written above and/or in this website do not constitute a legal advice and should not be relied upon by any parties as such. Please reach out to us for further enquiries.
Prepared by Hajar Afifah Binti Zainal