Bolehkah harta dihibahkan kepada seseorang tanpa pengetahuan waris lain?

Soalan:
Baru-baru ini, ibu saya ada menyatakan pada saya bahawa beliau ingin menghibahkan sebidang tanah kepada saya. Boleh atau tidak sekiranya ibu ingin menghibahkan kepada saya seorang tanpa pengetahuan adik beradik yang lain?

Jawapan:

Secara umumnya hibah adalah cara yang paling mudah dalam proses pembahagian harta kerana ia dilakukan ketika pemberi hibah dan penerima harta hibah masih hidup. Hibah ini juga mengelakkan dari berlakunya pertelingkahan di antara adik beradik mahupun waris-waris yang berhak pada masa akan datang. Sesiapa sahaja boleh melaksanakan hibah terhadap harta milikannya dengan memenuhi rukun dan syarat-syarat hibah.

Hibah memberi maksud pemberian.  Mengikut istilah syarak hibah merupakan satu akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika tempoh hidupnya tanpa sebarang balasan. Hibah dengan maksud umum itu adalah disukai, disaran dan digalakkan melalui al-Qur’an, al-Sunnah dan al-Ijma’.

Terdapat 5 rukun hibah menurut mazhab Syafie (pemberi hibah/penerima hibah/harta yang dihibahkan/perlaksanaan hibah) yang perlu dipenuhi sebelum pemberi hibah dan penerima hibah menghibahkan harta dan menerima  harta hibah tersebut. Setiap rukun hibah tersebut juga terdapat syarat-syarat yang melengkapi kepada rukun tersebut.

Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya turut menggalakkan amalan pemberian hibah di antara umat Islam bagi menguatkan hubungan sesama insan yang bermaksud,

“Bertukar-tukarlah hibah dikalangan kamu supaya kasih sayang di antara kamu menjadi kukuh.”

Rasulullah s.a.w juga bersabda bahawa pemberian hibah turut bertujuan bagi menghilangkan perasaan dendam dan iri hati.

“Berikanlah hibah diantara kamu kerana hibah akan menjauhkan dendam”.

Menjawab soalan puan tadi, tidak disyaratkan untuk pemberi hibah memberi harta hibahnya dengan memaklumkan kepada kesemua ahli waris. Hibah ini boleh dilakukan tanpa pengetahuan mana-mana pihak dan juga boleh dilakukan sama ada secara bertulis atau lisan. Namun, dewasa kini adalah lebih balik jika ibu puan menghibahkan harta hibah tersebut dengan wujudnya mana-mana pihak selain daripada adik beradik puan untuk menjadi saksi kepada pemberian hibah tersebut. Ini adalah untuk mengelakkan apa-apa ketidakpuashatian daripada mana-mana pihak adik beradik mahupun waris yang berhak pada masa akan datang. Lebih elok lagi hibah tersebut dibuat secara bertulis dan kemudiannya disahkan di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa.

Jika didunia lagi telah berlaku pertelingkahan dan ketidakpuashatian terhadap hibah tersebut yang mana walaupun ianya sah namun hubungan adik beradik menjadi rengggang dan keruh, maka usahlah puan bersedih kerana mungkin puan tidak dapat harta yang dihibahkan tetapi mungkin Allah s.w.t akan tunjukkan jalan dan bukakan pintu rezeki yang lebih luas kepada puan dan yakinlah bahawa sekiranya sememangnya rezeki itu telah ditulis untuk puan, maka ia akan tetap menjadi milik puan. Usah melihat sesuatu itu dengan pandangan di satu sudut sahaja kerana kadangkala apa yang kita tidak suka itu baik untuk kita. Sesungguhnya kita merancang dan Allah s.w.t merancang dan perancangan Allah lah yang terbaik. Moga kita bersyukur dan bersabar. Redha dengan apa yang Allah s.w.t telah tentukan tetapi jangan lupa usaha, doa dan tawakkal.

Article Disclaimer: The contents written above and/or in this website do not constitute a legal advice and should not be relied upon by any parties as such. Please reach out to us for further enquiries.

×